fb fb fb fb fb

Masyarakat Orang Asli diseru sertai TVET

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang

GUA MUSANG, 6 Ogos - Kerajaan menyeru supaya masyarakat Orang Asli seluruh negara menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan taraf pendapatan sedia ada dan berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, perkara itu adalah untuk memastikan anak-anak Orang Asli dapat bersaing seperti kaum lain dalam pelbagai bidang pada masa depan terutama bidang pendidikan dan ekonomi.

Katanya, peranan TVET kepada Orang Asli bukan sahaja bertujuan mengasah dan meningkatkan kemahiran yang dimiliki, sebaliknya berfungsi menaik taraf pendapatan dan membantu ekonomi mereka.

"TVET ini untuk KKW kita ada 280 institusi dan kita ada 10 agensi yang terlibat dengan mempunyai satu pusat latihan telah siap sepenuhnya dan operasinya awal Januari depan bidang kita ada adalah jahitan yang kita beri kepada masyarakat Orang Asli," kata Rubiah.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra bersama lebih 350 masyarakat Orang Asli Pos Pulat, di sini.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata JAKOA akan sentiasa memainkan peranan dan memberi kerjasama kepada masyarakat Orang Asli sekiranya memerlukan bantuan dan  pertolongan terutama dalam bidang pendidikan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kadar lepasan TVET yang mendapat pekerjaan juga tinggi iaitu mencecah 94.5 peratus kerana mahu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing terutama dalam sektor kotor, bahaya, sukar (3D).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata peningkatan itu menunjukkan persepsi dan tanggapan masyarakat yang menganggap TVET untuk individu yang tercicir dalam akademik tidak benar, sebaliknya ia mampu menjadi laluan kerjaya pilihan utama kepada para belia.

Pada 30 Mei lepas, Ahmad Zahid dilaporkan berkata 220 syarikat China menawarkan lebih 5,000 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di negara ini.

TETITIA YUSOFF