KUANTAN, 7 April- Masyarakat Islam perlu berwaspada dan menolak apa sahaja ajaran sesat seperti fahaman Khawarij dan Takfiri yang menyeleweng.
Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata ajaran-ajaran ini jika tidak dibendung boleh mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku selain membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata umat Islam perlu merujuk kepada ahli-ahli agama bertauliah sekiranya terdapat kekeliruan serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Jabatan Mufti negeri Pahang menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang mengingatkan umat Islam di negeri ini agar menghindari apa juga bentuk ajaran menyeleweng atau sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dan memantau sebarang bentuk ajaran atau fahaman yang mencurigakan agar dapat dibendung dan ditangani dengan sebaik-baiknya demi kesucian akidah umat Islam di negeri ini.
“Jabatan Mufti negeri Pahang menyeru agar masyarakat tidak membiarkan diri mereka terperangkap dalam jaringan ajaran sesat.
“Semoga kita teguh bersama-sama melindungi diri kita, keluarga dan masyarakat daripada sebarang bentuk ancaman ajaran atau fahaman yang menyeleweng atau sesat,” katanya.