SANDAKAN, 26 Mac - Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa hari ini mengajak semua peringkat masyarakat termasuk di luar bandar, untuk menyertai Program Duta Komuniti.
Beliau berkata program yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam itu, bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dalam kalangan masyarakat, ketika peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April ini.
Katanya kesedaran rakyat untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan, memantapkan lagi usaha kerajaan ke arah menjayakan peralihan ke fasa tersebut.
“Ini kerana apabila kita membuka sempadan negara, pelancong mula keluar masuk, kegiatan peniaga akan bermula berniaga balik, padang bola buka, rumah ibadat semua buka, tidak mungkin kerajaan boleh membuat kawalan melalui institusi yang biasa, sama ada pegawai kesihatan, polis atau Rela, dan sebagainya.
“Jadi, kita berharap ada satu kesedaran dalam kalangan komuniti, untuk mewujudkan duta-duta komuniti dalam kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santai YB MenKOMM di Taman Harmoni di sini hari ini. - BERNAMA