fb fb fb fb fb

Masjid Kampung Parit Simis Darat terbakar 50 peratus

FOTO HIASAN

BATU PAHAT, 15 Januari- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kebakaran membabitkan Masjid Kampung Parit Simis Darat, Sri Medan malam semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah menerusi satu kenyataan berkata kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu disedari seorang penduduk tempatan yang kebetulan hendak singgah di masjid tersebut.

"Penduduk tersebut telah meminta bantuan rakannya dan penduduk kampung berhampiran untuk membantu memadam kebakaran sebelum kebakaran berjaya dipadamkan 15 minit kemudian," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati sebahagian karpet, sejadah, pendingin udara dan mimbar masjid dijilat api dalam kebakaran itu.

Ismail berkata siasatan lanjut akan dijalankan pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng untuk mengenal pasti punca kejadian dan pada masa sama, polis juga turut menyiasat jika ada berlaku unsur jenayah.

Sementara itu, Komander Operai BBP Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata dalam kejadian berkenaan keadaan masjid terbakar sebanyak 50 peratus

"Kebakaran telah dipadamkan oleh orang awam sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba dengan menggunakan siraman air paip," katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.58 tengah malam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE