
MELAKA, 17 Februari – Keunikan Masjid Cina Negeri Melaka, Al-Muttaqin di Krubong diketengahkan dalam siri Jelajah Ramadan RTM, tahun ini.
- Masjid Cina Al-Muttaqin diketengahkan dalam Jelajah Ramadan RTM sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum.
- Program turut disambut sempena Tahun Baharu Cina dengan pameran dan aktiviti anjuran penaja serta agensi strategik.
- Persembahan artis dan pengagihan 500 pek nasi kari BABAS meriahkan sambutan serta tarik minat pelancong.
Pengarah Penyiaran Melaka, Siti Nurbaini Khairi berkata pemilihan masjid tersebut sebagai simbol kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Bukan sahaja kita menyemarakkan semangat Ramadan Al-Kareem tetapi kita juga menyambut perpaduan sebenarnya Masjid Cina ini adalah masjid tumpuan yang mana pada hari ini adalah hari cuti umum dengan ramai pelancong datang menyaksikan sendiri keindahan seni bina yang terdapat di masjid ini.
“Dan kita sama-sama menyambut skuad Jelajah Ramadan RTM yang singgah di Melaka di Masjid Cina ini,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan peserta Program Jelajah Ramadan RTM di perkarangan Masjid Cina, Krubong, di sini.
Program tersebut turut dianjurkan bersempena Sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.
Pelbagai aktiviti menarik juga diatur termasuk pameran daripada penaja Jelajah Ramadan RTM, BABAS serta rakan strategik lain seperti Jabatan Tenaga Atom dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membawa van MEKAR.
Dua artis terkenal, Raja Ema dan Aris Ariwatan turut membuat persembahan.
Dalam majlis itu juga 500 pek nasi kari BABAS diagihkan kepada peserta skuad jelajah dan pengunjung.