KUALA LUMPUR, 23 September - Masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila 254,000 daripada lebih 1.2 juta orang dewasa dikesan mengalami masalah tersebut.
Data itu diperoleh menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) tahun ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dapatan berkenaan menggambarkan skala sebenar yang menjejaskan lebih separuh populasi dewasa negara.
Tegas beliau, masalah obesiti memerlukan tindakan kolektif segera bagi mengelakkan impak kesihatan dan ekonomi yang lebih parah.
"Pengalaman kita melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional menggambarkan dengan jelas skala sebenar cabaran ini. Hanya pada tahun 2025, lebih 1.2 juta orang dewasa telah disaring dan hasilnya amat mengejutkan apabila lebih 254,000 dikenal pasti sebagai obes (30.9%), manakala peratusan hampir sama berada dalam kategori berlebihan berat badan (30.8%)" katanya dalam ucapan penutupan sempena Kempen "My Best Me" di sini.
Menurut beliau, masalah obesiti berpotensi meningkatkan risiko penyakit kronik termasuk diabetes, strok, kanser dan penyakit jantung yang menyumbang lebih 70 peratus daripada kematian di negara ini.
Rawatan untuk penyakit berkenaan pula menelan kos melebihi RM64 bilion setahun kepada ekonomi negara.
Bagi mengurangkan masalah tersebut, Kementerian Kesihatan kini memperkenalkan pengurusan obesiti klinikal bersepadu di peringkat penjagaan primer melibatkan 10 klinik kesihatan terpilih.
Pendekatan lain seperti rawatan farmakologi dan pembedahan bagi kes tertentu turut diperluaskan.