Masalah liputan internet DUN Sungai Manik dijangka selesai seminggu

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi

TELUK INTAN, 16 Februari – Masalah liputan internet yang tidak konsisten di beberapa lokasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Masalah liputan dikenalpasti berpunca daripada isu teknikal memerlukan naik taraf peralatan oleh penyedia telekomunikasi.
  • Lawatan dan perbincangan bersama penyedia dan ADUN membawa keputusan kerja penambahbaikan rangkaian dijangka siap dalam seminggu.
  • Kerjasama wakil rakyat dan MCMC penting; isu dibawa ke Jawatankuasa Telekomunikasi Negeri untuk tindakan berterusan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, isu berkenaan dikenal pasti berpunca daripada faktor teknikal yang memerlukan kerja naik taraf oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Menurut beliau, walaupun menara telekomunikasi telah tersedia di kawasan terlibat, penambahbaikan dari segi teknikal dan peralatan perlu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan lebih stabil dan menyeluruh.

Katanya, hasil aduan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dalam sidang dewan, pihaknya turun padang meninjau lokasi terjejas termasuk di Jabatan Pertanian dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah.

“Hasil tinjauan mendapati memang terdapat masalah liputan membabitkan beberapa penyedia perkhidmatan. Kita turut membawa wakil penyedia perkhidmatan dalam rombongan dan selepas sesi perbincangan, dimaklumkan kerja-kerja penambahbaikan rangkaian akan dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Komunikasi Perak di Sungai Manik, di sini.

Turut hadir, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Perak, Irwan Mohamed.

Mohd Azlan menegaskan kerjasama semua wakil rakyat tanpa mengira parti amat penting bagi memastikan setiap isu rakyat dapat ditangani secara berkesan dan berterusan.

Setakat ini, program Jelajah Komunikasi Perak telah meliputi lapan DUN termasuk di Gerik dan Pengkalan Hulu. Setiap isu yang dikenal pasti akan dibawa ke Jawatankuasa Telekomunikasi Negeri Perak yang dipengerusikan beliau, manakala MCMC bertindak sebagai urus setia.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pembinaan menara telekomunikasi baharu di Gua Tempurung sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kawasan ‘blind spot’, selepas isu liputan di Terowong Menora berjaya diselesaikan sebelum ini.