MEKAH, 29 Jun- Seramai tujuh orang jemaah haji Malaysia dilapor tidak dapat menyelesaikan ibadah haji masing-masing tahun ini, disebabkan masalah kesihatan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar selepas jemaah haji selesai tempoh berwuquf pada 9 Zulhijah.
Menurutnya, tujuh orang tersebut termasuk tiga yang masih koma di Hospital Arab Saudi disebabkan serangan angin ahmar dan radang paru-paru.
Manakala empat orang lagi berjaya dibawa ke Arafah namun keadaan ketika di lokasi berkenaan tidak mengizinkan mereka menyempurnakan wajib haji untuk berwuquf.
"Mereka yang tidak dapat menyempurnakan ibadah haji tahun ini berusia antara 50 hingga 80 tahun.
"Pemantauan ke atas tiga pesakit yang koma akan diteruskan pihak perubatan Tabung Haji (TH) dari semasa ke semasa.
"Mereka yang sakit dan dirawat di Hospital Arab Saudi diberikan rawatan secara percuma, dibiayai kerajaan Arab Saudi sehingga mereka sihat. Bila sudah sihat, mereka akan dibawa pulang ke Malaysia," katanya.
Seramai 54 pesakit dibawa menaiki Safari Wuquf semasa di Arafah untuk melengkapkan wajib haji masing-masing dengan dibantu pegawai bertugas.
Manakala sehingga semalam, 63 pesakit masih mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan TH di Mekah, dengan 42 daripadanya lelaki.
(Pemantauan ke atas tiga pesakit yang koma akan diteruskan pihak perubatan
TH dari semasa ke semasa)