IPOH, 13 Disember- Masalah capaian internet di sekitar kawasan Terowong Menora Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akhirnya selesai.
Usaha itu dilaksana menerusi baik pulih dan naik taraf peranti penguat isyarat atau 'repeater' di kawasan tersebut.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata masalah yang berlarutan hampir setahun itu berjaya diselesaikan hasil tindakan oleh pengendali baharu menggantikan 'repeater' rosak dengan peranti teknologi baharu yang selama ini tertangguh akibat pelbagai kekangan.
"Selain itu, saya dimaklumkan juga ada juga gentian-gentian yang dirosakkan mungkin oleh haiwan liar dan sebagainya. Jadi, faktor-faktor berikut membawa kelewatan tersebut.
Namun, di peringkat kerajaan negeri, apabila kita maklum perkara ini dan sejak tahun lepas kita sudah bekerjasama dengan MCMC. Alhamdulillah, kita kejar mereka ini dan hari ini dapat kita selesaikan," kata Mohd Azlan kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Terowong Menora, PLUS, di sini.
Tambah beliau, pihaknya kini akan memberi tumpuan kepada beberapa lagi lokasi di sepanjang lebuh raya berkenaan yang memerlukan peningkatan capaian internet.
Ujarnya, permohonan telah dihantar kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) tentang perkara itu termasuk dari segi cadangan pemasangan menara pemancar.