CYBERJAYA, 16 Januari- Masalah bekalan gula di Labuan dijangka pulih selewat-lewatnya esok.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 118.9 metrik tan gula akan tiba di Labuan secara berperingkat.
"Kemasukan bekalan tambahan bekalan gula dari Sabah, penghantaran dari Semenanjung dari Pelabuhan Klang dan Kota Kinabalu dalam perjalanan. Jadi, insya-Allah bekalan gula di Labuan akan pulih selewat-lewatnya bermula pada hari Rabu ini", katanya dalam sidang media selepas menghadiri pertandingan akhir Debat Kepenggunaan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024 Piala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di Cyberjaya, malam tadi.
Beliau berkata tindakan serta-merta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah dilakukan sebaik dimaklumkan mengenai masalah berkenaan oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.
Beliau juga memaklumkan faktor kedudukan Labuan yang jauh dari lokasi punca bekalan gula, menjadi isu utama hingga memberi kesan serius dalam rantaian penghantaran bekalan.