
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan semua penerbangan ke dan dari Doha (DOH), Jeddah (JED) dan Madinah (MED) sehingga 4 Mac berikutan perkembangan keselamatan serantau yang semakin memuncak.
- Malaysia Airlines menggantung semua penerbangan ke dan dari Doha, Jeddah dan Madinah sehingga 4 Mac.
- Penggantungan susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.
- Penumpang terjejas akan diberi bantuan dengan pengaturan perjalanan alternatif.
- Penumpang dinasihatkan mengemas kini maklumat melalui 'My Booking', Live Chat atau pusat panggilan.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan memaklumkan, penggantungan berkenaan susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.
“Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan akan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan.
“Penerbangan ke destinasi terjejas akan terus digantung sementara menunggu penilaian lanjut terhadap situasi keselamatan,” menurut kenyataan Malaysia Airlines.
Syarikat itu menasihatkan penumpang untuk mengemas kini maklumat melalui fungsi ‘My Booking’ di laman web, atau menghubungi sokongan Live Chat dan Pusat Perhubungan Global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar negara).
“Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan semasa dengan teliti dan mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai.
“Keselamatan penumpang dan kru kekal sebagai keutamaan kami,” kata kenyataan itu.
Senarai penerbangan yang terjejas termasuk MH150, MH151, MH156, MH157, MH160, MH161, MH164, MH165, MH6126, MH6127, MH155, MH152, MH153, MH158 dan MH159, dengan tarikh penerbangan bermula 1 Mac hingga 4 Mac 2026.