fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia terima kapal induk baharu buatan Turkiye

Foto Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 12 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima sebuah kapal induk baharu buatan Turkiye, sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) merupakan keputusan tepat kerajaan dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

“Kapal ini akan menjadi aset penting dalam memperkukuh kawalan perairan negara, terutama di Laut China Selatan, selain menangani ancaman seperti pencerobohan vesel asing, penangkapan ikan haram serta jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya menerusi kenyataan.

Kapal MPMS akan dibina oleh syarikat Desan Shipyard dari Turkiye, yang dipilih berdasarkan merit serta kepakaran dalam industri pertahanan yang diiktiraf di peringkat global.

Perjanjian tersebut dimeterai melalui Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Turkiye, yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, mewakili Malaysia dalam majlis tersebut, manakala pihak Turkiye diwakili Pengerusi Lembaga Desan Shipyard, Mr. Cenk Ismail Kaptanoğlu.

Kapal MPMS yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 itu akan dilengkapi dengan teknologi canggih untuk meningkatkan keberkesanan operasi Maritim Malaysia.

Antara spesifikasi utama kapal sepanjang 99 meter itu termasuk mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti.

Selain turut dilengkapi empat bot pemintas pantas (FIC) dan dua dron udara tanpa pemandu (UAV dan juga mempunyai helideck, fasiliti perubatan, serta pusat tahanan.

Kapal MPMS mempunyai kapasiti 70 kru dan 30 penumpang.

Tegas Mohd Rosli, pemeteraian perjanjian itu juga sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh keselamatan maritim melalui kerjasama antarabangsa.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, Maritim Malaysia optimis hubungan dua hala Malaysia-Turkiye dalam sektor pertahanan maritim akan terus diperkukuh, sekali gus memberi manfaat besar kepada keselamatan dan kestabilan perairan negara,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN