LUMUT, 7 Januari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan tiga buah bot nelayan tempatan masing-masing kelas B (dua) dan C (satu) kerana melakukan pelbagai kesalahan di perairan negara.
Pada Jumaat 20 nelayan warga asing dengan bot nelayan tempatan kelas C ditahan oleh pasukan operasi KM Tugau di kedudukan kira-kira 4.25 batu nautika, barat laut, Pulau Dua.
Pengarah Maritim Perak Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, pemeriksaan ke atas bot mendapati ia dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama 20 kru warga Thailand dan Kemboja berumur lingkungan 30 hingga 52 tahun.
"Antara kesalahan dikesan termasuk lesen bot tamat tempoh, tiada kebenaran menggunakan kru warga asing, tiada kelulusan penggunaan peralatan komunikasi dan kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Imigresen 1959/63,' katanya.
Sementara itu pada Sabtu, dua bot nelayan tempatan kelas B bersama-sama lima nelayan warga asing di kedudukan 10.7 batu nautika barat Bagan Panchor turut ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
Kedua-dua bot dikendalikan tekong bersama tiga kru warga Myanmar berusia lingkungan 28 hingga 47 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua tekong gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan tiada kebenaran menggunakan kru warga asing.
Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.