fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia sokong penuh usaha kerajaan perkenal Pelan MyPCVE

FOTO MARITIM MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) menyokong sepenuhnya usaha kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkenalkan Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, usaha berkenaan dianggap penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan negara terus terpelihara.

Tambah beliau, walaupun peranan Maritim Malaysia hanya di perairan negara, namun agensi tersebut sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam mengawasi perairan negara daripada dicerobohi oleh elemen-elemen yang boleh menimbulkan ancaman keselamatan, termasuk aktiviti pelampau dan pengganas.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan MyPCVE di Putrajaya.

Datuk Mohd Rosli dalam kenyataan media yang sama turut menyifatkan Pelan MyPCVE tersebut sebagai satu langkah proaktif kerajaan dalam membendung sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan keganasan di dalam dan luar negara.

Beliau turut mengulas empat teras utama yang menjadi fokus MyPCVE, iaitu Pencegahan, Penguatkuasaan, Pemulihan, dan Pengukuhan.

Melalui empat teras utama berkenaan katanya, fahaman pelampau dan keganasan dilihat akan dapat dibendung daripada sebarang sebarang anasir yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Datuk Mohd Rosli turut berharap Pelan Tindakan MyPCVE yang akan diguna pakai pada 2024 hingga 2028 itu akan membantu Kerajaan Perpaduan dalam mengekalkan keamanan dan ketenteraman negara ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE