fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia selamatkan enam pelancong terkandas di Pulau Rawa

Kesemua pelancong yang terkandas itu dipindahkan ke Jeti Awam Syahbandar di Mersing

MERSING, 21 Disember - Enam pelancong yang terkandas di Pulau Rawa, di sini pagi tadi akibat cuaca buruk berikutan Monsun Timur Laut berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata kesemua pelancong yang terkandas itu dipindahkan ke Jeti Awam Syahbandar, di sini.

"Antara yang terkandas termasuk dua pelancong dari Perancis, dua dari Singapura, manakala dua lagi merupakan pelancong tempatan.

"Bantuan aset berjaya memindahkan kesemua pelancong berusia 35 hingga 60 tahun ke jeti meskipun keadaan hujan lebat dan laut bergelora," katanya menerusi kenyataan.

Suhaizan turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di persisir pantai dan di laut semasa musim Monsun Timur Laut.

"Sebarang aduan kecemasan dan keselamatan di laut segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN