KUCHING, 2 November- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak melancarkan operasi mencari dan menyelamat lapan pemancing tempatan hilang di laut Paloh di sini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, operasi itu bermula pada pukul 6.00 petang semalam menggunakan aset laut serta udara.
Setakat pukul 12.00 tengah hari tadi, pihaknya telah memperluaskan pencarian di laut hingga 23 batu nautika meliputi Tanjung Sipang hingga ke kawasan Paloh.
Manakala pencarian menerusi udara pula meliputi keluasan hingga 530 batu nautika.
Mereka yang hilang dikenal pasti sebagai Samarin Sharkawi, Mohamad Haikal Sharkawi, Mohamad Azizi Hamzi, Husin Ayup, Dahlan Ramli, Hasrin Ismail, Johari Bujang dan Abdullah Ajek.
Ketika dihubungi RTM tengah hari tadi, pihaknya masih belum menemukan sebarang petunjuk lokasi terakhir kapal terbabit dilaporkan berada.
Semalam Maritim Malaysia Sarawak menerima laporan kehilangan lapan pemancing yang tidak pulang ke jeti Samariang selepas keluar memancing dengan sebuah bot pada hari sebelumnya.
Operasi mencari turut disertai pihak polis masih diteruskan.