fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia laksana tanggungjawab dengan baik - Shamsul Anuar

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

KUANTAN, 15 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sejak ditubuhkan 19 tahun yang lalu kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Pelbagai usaha dilakukan oleh Maritim Malaysia dengan kerjasama agensi lain bagi membanteras jenayah di perairan negara.

"Maritim Malaysia telah memegang amanah dan tanggungjawab dalam menjaga keselamatan pelayaran dan melindungi kepentingan maritim negara. Dengan adanya Maritim Malaysia, empat sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon dapat terus dijalankan dengan selamat.

"Pelbagai cabaran termasuk ancaman keselamatan sering dihadapi yang memerlukan ketangkasan, semangat juang dan ilmu dalam melaksanakan tanggungjawab yang besar ini," katanya kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 19 (HUT19) Maritim Malaysia di Akademi Sultan Ahmad Shah (Amsas), di sini.

Bersempena HUT19, tema 'Maritim Perkasa Melestarikan Madani' telah diangkat bagi mencerminkan tekad, komitmen dan keseriusan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

Perkara itu seiring enam nilai teras yang terkandung dalam Malaysia MADANI.

Kemeriahan sambutan HUT19 diserikan dengan persembahan demonstrasi oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat.

Selain itu, Penyampaian Anugerah Khas Maritim Malaysia dan penyampaian Reben Penghargaan Khas Ketua Pengarah (RKP) turut diadakan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI