KUALA LINGGI, 17 Mei- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan cubaan seludup sejumlah 4.27 juta batang rokok kretek pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.15 juta, Ahad lalu.
Menerusi Op Murni/Op Tiris, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata operasi dibuat hasil maklumat risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA).
"Sebuah bot yang menuju ke Tanjung Sepat, Selangor berada dalam keadaan curiga kira-kira pukul 11.30 malam.
"Suspek meloloskan diri ke dalam kawasan hutan bakau sebaik menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia.
"Keadaan cuaca gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi untuk mengesan suspek.
"Bot pancung tanpa tekong dan awak-awak telah ditahan di kedudukan 0.07 batu nautika barat daya Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat lebih kurang pukul 1.30 pagi.
"Kesemua rampasan termasuk bot, enam enjin 200 kuasa kuda jenama Yamaha dan 4.27 juta batang rokok kretek pelbagai jenama dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
"Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967," katanya menerusi kenyataan.
(Keadaan cuaca gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi
untuk mengesan suspek)