fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia akan terima OPV2 dan OPV3

Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin

KUANTAN, 15 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menerima Kapal Peronda Luar Pesisir Kedua (OPV 2) dan Ketiga (OPV 3) bagi memperkasa aktiviti rondaan di kawasan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, penempatan OPV 2 dan OPV 3 akan dikaji terlebih dahulu dan bergantung kepada keperluan semasa.

Sebelum ini OPV1 telah diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2 Januari.

Ia ditempatkan di pengairan Sarawak bagi melaksanakan pengawasan dan penguatkuasaan di Laut China Selatan bermula 25 Januari lalu.

"Sekarang ini dalam proses di peringkat jemaah menteri. Jadi secara ringkasnya memang Maritim Malaysia akan menerima OPV2 dan OPV3. Proses itu sekarang ini sedang dilaksanakan di peringkat dasar.

"Kita serahkan kepada kerajaan bawah Kementerian Dalam Negeri. Terima kasih saya ucapkan kepada kementerian dan juga kerajaan kerana berjaya memberi kita OPV1 sementara itu OPV2 dan OPV3 dalam proses. Dalam tempoh satu tahun sepatutnya akan selesai. Bagaimana kita nak melaksanakannya, saya serahkan kepada kementerian dan kerajaan," katanya selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-19 (HUT19) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Akademi Sultan Ahmad Shah (Amsas), di sini yang dirasmikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam perkembangan lain, sepanjang tahun lalu Maritim Malaysia berjaya melakukan tangkapan melibatkan nilai rampasan berjumlah lebih RM101 juta.

"Melalui operasi-operasi Maritim Malaysia kita telah merekodkan 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan. Ini melibatkan semua akta di laut," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam, Datuk Mahmud Saidin; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Ayob Khan Mydin Pitchay turut hadir dalam majlis itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI