fb fb fb fb fb

MARDI tanam 200 anak pokok durian MDUR 88

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani menghadiri Program Penanaman Semula Pelancongan Hijau di Taman Agroteknologi Langkawi

LANGKAWI, 26 Mei - Sebanyak 450 anak pokok durian, jambu dan mangga di tanam di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui Program Penanaman Semula Pelancongan Hijau, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, 200 daripadanya merupakan anak pokok durian jenis MDUR 88 klon untuk menggantikan pokok lama yang telah berusia.

"Walaupun program ini di laksanakan pada skala kecil, namun program ini akan mampu menjadi satu asas bagi mempromosikan penghijauan dalam pertanian.

"Kita menyasarkan setiap stesen MARDI di negara ini akan menanam tidak kurang 800 pokok sebagai menyokong Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 anjuran kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penanaman Semula Pelancongan Hijau di Taman Agroteknologi Langkawi di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Mardi Kedah, Wan Zairi Wan Abdul Manaf dan Pengurus Stesen Mardi Langkawi, Muhammad Khairol Asraff Ibrahim.

Tambah beliau, program yang bermula 20 Mei itu akan berakhir 28 Mei ini mampu menjana pendapatan kira-kira RM22 juta setahun.

Ujar beliau, aktiviti penanaman pokok buah-buahan ini melibatkan masyarakat setempat, pelajar sekolah dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai rekod, lebih 500,000 pelancong tempatan dan luar negara telah berkunjung ke Taman Agroteknologi MARDI di seluruh negara pada tahun lalu.

GRACE AISYAH KEDAYAN