fb fb fb fb fb

MARDI jalin kerjasama dengan Iran tingkat hasil padi, ayam

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani

AYER KEROH, 27 Februari - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalinkan kerjasama dengan Iran bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi dan ayam negara.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata kerjasama dengan Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan dan Pengembangan Pertanian Iran (AREEO) itu, bertujuan mengkaji kesesuaian baka ayam dan benih padi.

Beliau berkata, sebanyak 10 skop penyelidikan dibincangkan menerusi kerjasama tersebut.

Fokus utama katanya kepada teknologi untuk meningkatkan hasil genetik padi dan baka ayam kedua-dua negara.

Turut dibincangkan, penyelidikan buah-buahan tropika dan perikanan.

"Kita ada 10 set skop dalam penyelidikan kita bersama dengan AREEO dan dalam lawatan saya bersama menteri baru baru ini kita telah menandatangani satu perjanjian untuk menjayakan program penanaman padi iaitu kita buat pertukaran plasma kuman (germ plasm), maknanya kita punya plasma kuman kita beri pada Iran dan Iran punya plasma kuman akan dibawa ke sini.

"Disamping itu juga kita cuba mempercepatkan proses untuk memperkenalkan baka ayam dari Iran ke Malaysia yang mana kita akan buat penyelidikanlah dari segi kesesuaian baka tersebut di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Mekanisasi Pertanian dan Makanan Kebangsaan (NCAFM) 2024, di sini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mahu kerjasama dalam bidang penyelidikan antara MARDI dan AREEO dipertingkatkan, selari dengan teras strategik kelima Program Inovasi Nasional Keterjaminan Makanan Agromakanan Rakyat (PINTAR) iaitu teras kolaborasi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN