fb fb fb fb fb

MARC organisasi pengurusan kolektif mewakili karya sastera, seni, imej dan ilustrasi

KUALA LUMPUR, 18 Ogos- Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC) secara rasmi diumum menjadi badan pengurusan kolektif yang diiktiraf oleh kerajaan untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penulis, penerbit dan pelukis di dalam industri percetakan dan penerbitan di Malaysia.

MARC merupakan pengurusan kolektif yang diisytihar oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang diberi kuasa mengutip royalti karya sastera, seni, imej dan ilustrasi serta mengeluarkan lesen penggunaan tersebut bagi pengguna di Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, MARC berfungsi untuk memantau penggunaan semula karya cetak dan digital di seluruh negara termasuk di sekolah, universiti, perpustakaan dan pusat cetakan, dengan kerjasama entiti kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seterusnya mengutip royalti sebelum ia diagihkan kepada pemilik harta intelek tersebut.


(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid ketika sidang media di sini)

MARC dianggotai bersama oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Persatuan Aktivis Komik Malaysia (PEKOMIK), dan Persatuan Buku Gambar Kanak-Kanak Malaysia (MYCPB).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Penubuhan dan pengiktiran MARC sebagai organisasi pengurusan kolektif antara lain akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya dalam menguruskan hak royalti di samping menjaga kebajikan mereka dalam industri percetakan dan penerbitan karya-karya sastera, seni, imej dan ilustrasi.

Rosol sebelum itu merasmikan Seminar Kebangsaan bertajuk “Managing Copyright in Malaysia Education” di sebuah hotel di ibu negara.

Seminar ini antara lain adalah bagi mengumpulkan mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi dalam membincangkan kepentingan hak harta intelek di dalam industri imej dan percetakan (reprografik) di Malaysia.

Seminar ini juga adalah medan dan peluang terbaik bagi peserta untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan terkini hak reprografik antarabangsa dan perkembangan dalam negara.

Hadir sama Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar dan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan MARC, Ahmad Hussain Tajuddin.

Media Baharu