fb fb fb fb fb

MARA peruntuk RM100 juta kepada usahawan automotif

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahis Hamidi melawat pameran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2024 di Bukit Jalil/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 September - Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membelanjakan sebanyak RM100 juta dalam bentuk geran dan pinjaman kepada usahawan dalam bidang automotif. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran, sekali gus menjana pendapatan melalui bidang berkenaan.

"Ia melibatkan 4,000 usahawan daripada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari institusi MARA seperti Giatmara, Institut Kemahiran MARA dan Universiti Kuala Lumpur. 

“Ini memperlihatkan kesungguhan MARA dalam tempoh beberapa dekad ini telah membuahkan hasil dan kita harap ia dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2024 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

MATEC 2024 merupakan satu lagi inisiatif penting daripada MARA dalam usaha memacu penglibatan bumiputera dalam industri automotif, sekali gus memperkukuhkan ekosistem TVET negara.

Dalam majlis berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bateriku (M) Sdn Bhd dengan GGR Motor M Sdn Bhd, serta antara SKS Coachbuilders Sdn Bhd dengan MARA.

Kerjasama strategik ini melibatkan pemasaran bateri motosikal keluaran Bateriku yang berpotensi besar di pasaran.

Turut dilancarkan Workshop Enhancement Programme (WEP) MARA bersama Mannol, serta pelancaran model kereta terbaru, Neta X.

Seramai 30,000 pengunjung dijangka hadir ke program berkenaan yang bermula hari ini hingga 22 September.

ARTIKEL BERKAITAN:

Trainee