fb fb fb fb fb

MAQIS Selangor tahan dua ekor anjing dari China, identiti mengelirukan

Foto MAQIS

SEPANG, 26 April - Dua ekor anjing baka 'Poodle' dari China ditahan kerana mempunyai identiti nombor mikrocip yang mengelirukan.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) Selangor dalam kenyataan berkata, anjing itu ditahan Selasa lepas di tapak pemeriksaan MAQIS di Zon Bebas Komersial (FCZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo kira-kira pukul 10.00 pagi, di sini.

"Pemeriksaan mendapati nombor mikrocip yang diimbas pada badan anjing tidak sepadan dengan nombor mikrocip yang diikrar dalam permit import MAQIS.

"Keperluan pemeriksaan nombor mikrocip yang tepat penting bagi memastikan haiwan yang masuk ke dalam negara sama dengan identiti yang tertera dalam Sijil Kesihatan yang diluluskan dari negara asal," menurut kenyataan itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengisytiharkan maklumat yang mengelirukan.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mohd Sobri berkata tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diberi perhatian di semua pintu masuk negara untuk memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

TETITIA YUSOFF