fb fb fb fb fb

Mansuh dasar kuota 30% wanita sebagai pembuat keputusan - Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri

JASIN, 5 Februari - Dasar menetapkan 30 peratus kuota wanita sebagai pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah syarikat perlu dimansuhkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Katanya, pada masa ini ramai wanita layak untuk memegang jawatan berkenaan dan ia tidak boleh dihadkan.

"Kita tidak patut ada had, kita perlu bergerak secara bebas tidak perlu ada sekatan lagi," kata Nancy kepada pemberita selepas hadir pada Program Laman Wanita Negeri Bersejarah Bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2024 di Laman berkenaan di Bandar Baru Jasin.

Beliau mengulas kenyataan Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang berkenaan Dasar menetapkan 30 peratus kuota wanita sebagai pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah syarikat sebagai tindakan merugikan.

Dalam pada itu, Nancy berkata penyertaan wanita dalam tenaga buruh telah meningkat 55.9 peratus pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan penyertaan ini dijangka terus berlaku apabila persekitaran yang kondusif dan mesra wanita disediakan kepada mereka.

TETITIA YUSOFF