fb fb fb fb fb

Mangsa terjejas banjir di Sabah kekal 122 orang

KOTA KINABALU, 12 Oktober- Mangsa banjir di Sabah kekal seramai 122 orang daripada 32 keluarga yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Sabah dalam kenyataan memaklumkan seramai 61 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di Dewan Projek Perumahan Rakyat Sri Keramat di Putatan.

Dewan DSP Mohd Dun Banir di Beaufort menempatkan seramai 51 mangsa daripada 19 keluarga , manakala di PPS Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU, Papar masih menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.

Satu PPS iaitu di Dewan Kebudayaan di Penampang ditutup semalam dan kesemua 20 mangsa daripada empat keluarga di situ dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Kesemua PPS dibuka pada Ahad dan Isnin susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lepas.

Sementara itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah menerusi kenyataan memberitahu dua laluan sementara beroperasi bermula hari ini berikutan kejadian tanah runtuh di Terowong Dampai, Papar pada Isnin lepas.

Laluan itu melibatkan Kawang ke Sembulan yang berlepas pada 6.25 pagi setiap hari, dan laluan Sembulan ke Kawang berlepas pukul 5.30 petang pada Isnin hingga Sabtu manakala Ahad berlepas pada 5 petang.

“Pengoperasian laluan ini adalah sehingga kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan landasan tersebut siap dan selamat sepenuhnya. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi,” menurut kenyataan itu.


(Foto fail)

Media Baharu