fb fb fb fb fb

Mangsa sindiket 'job scam' disoal siasat elak jadi dalang rekrut mangsa lain

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan/Foto FB Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 2 April - Kesemua rakyat Malaysia yang telah dibawa pulang dari luar negara akibat penipuan sindiket tawaran pekerjaan akan disoal siasat oleh pihak berkuasa, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, tindakan itu bagi memastikan penglibatan mereka dalam sindiket sama ada sebagai mangsa atau berperanan sebagai dalang.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat bukti kukuh yang menunjukkan bahawa mereka adalah dalang merekrut mangsa berdasarkan undang-undang sedia ada iaitu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

"Mereka yang didakwa di bawah Akta ini boleh disabitkan dengan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun atau denda," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead apakah peranan kerajaan bagi mengelakkan lebih ramai mangsa terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan lain-lain negara.

Beliau turut mendedahkan setakat hari ini seramai empat orang warga Malaysia telah didakwa kerana disyaki menjadi dalang sindiket penipuan di Peru, pada tahun lalu.

Mohamad berkata, punca utama rakyat Malaysia tertarik dengan tawaran pekerjaan di luar negara kerana tawaran gaji yang lumayan mencecah hinga USD200 (RM9450) selain elaun yang tinggi; kemudahan lengkap yang dijanjikan seperti tambang penerbangan dan penginapan serta kebebasan berjudi secara pinjaman.

"Rata-rata mangsa terdiri daripada mereka yang kurang berpendidikan, hidup susah dan mempunyai masalah rekod jenayah sebelum ini.

“Namun apabila mereka bekerja, mereka perlu mencapai sasaran ditentukan majikan dan jika gagal mencapai sasaran, mereka akan didenda seperti ditolak gaji, tidak diberi makan dan dipaksa bekerja lebih masa,” katanya.

Mohamad berkata, banyak perkara telah dilaksanakan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan muda melalui pelbagai aplikasi media seperti Youtube, Instagram serta video hebahan untuk kesedaran dan ia turut dikongsi media masa utama seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Awani dan TVS.

Katanya, Kementerian Luar Negara (KLN) sentiasa prihatin dan memandang serius berhubung isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan yang melibatkan warga Malaysia di luar negara.

“Isu ini bersifat merentas pelbagai kementerian dan agensi kerajaan selaras dengan aspirasi kerajaan iaitu (pendekatan) keseluruhan kerajaan.

"Kementerian juga sudah bekerjasama erat dengan kementerian lain serta agensi berkaitan bagi membendung jenayah ini," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN