fb fb fb fb fb

'Ayah kata nak pulang hari ini' - Anak mangsa serangan harimau

Ahli keluarga mangsa, Adnan Ismail, 54 tahun (kotak kecil) yang dibaham harimau di Gerik semalam

KUALA KRAI, 16 Oktober- "Ayah sepatutnya pulang hari ini," luah Nur Nazirah Adnan, anak kepada mangsa serangan harimau di Gerik, Perak, semalam yang tidak menyangka hanya akan menyambut sekujur tubuh bapanya yang kaku.

Nur Nazirah, 29, memaklumkan bapanya Adnan Ismail, 54, yang bekerja sebagai pemandu jentera berat merancang untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Ngangoh, Kuala Krai, Kelantan hari ini untuk menghulurkan wang belanja kepada ibu dan adik-adiknya yang masih bersekolah.

Namun, hasrat mangsa tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat serangan harimau yang dipercayai berlaku di hadapan pintu rumah kongsi Kompartment 42 di Hutan Simpan Amanjaya ketika ingin ke tandas kira-kira pukul 5.00 pagi.

"Arwah ayah ada beritahu yang dia nak balik hari ini untuk tukar tayar kereta dan baiki kereta. Dia juga nak balik bagi duit belanja kepada adik-adik yang masih sekolah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Nur Nazirah berkata dia dan ibunya, Ruslaiti Sulaiman, 48, yang juga isteri pertama bapanya dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui sepupunya.

Mereka sekeluarga terkejut dengan berita itu dan memaklumkan bahawa kali terakhir bertemu mangsa adalah pada akhir September lepas sebelum mangsa pergi bekerja bersama isteri keduanya, Saina Binsa-i.

Nur Nazirah juga memaklumkan bahawa jenazah ayahnya masih berada di Hospital Taiping, Perak untuk proses bedah siasat dan dijangka tiba di rumah mereka sekitar 10.00 malam ini.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor Mengkebang, di sini, sebaik sahaja jenazah tiba, jelasnya.

Allahyarham Adnan meninggalkan dua orang balu dan 10 anak berusia enam hingga 30 tahun.

Media semalam melaporkan seorang lelaki diserang binatang buas di kawasan hutan dekat Bersia dan mayatnya ditemukan pada pukul 12.00 tengah hari, kira-kira 100 meter daripada rumah kongsi.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata kejadian dipercayai berlaku antara pukul 5.00 hingga 6.00 pagi ketika mangsa sedang menuju ke tandas.

Difahamkan, mangsa dan isteri berada di kawasan tersebut untuk menjalankan aktiviti penerokaan hutan (pembalakan).

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA