fb fb fb fb fb

Mangsa dan ahli keluarga pelajar Malaysia kemalangan di New Zealand akan dibantu

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan

SEREMBAN, 30 Mac - Kementerian Luar Negeri bersedia membantu mangsa dan ahli keluarga pelajar Malaysia terbabit kemalangan di New Zealand bagi memastikan pengurusan kebajikan mereka berjalan dengan lancar.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini dua mangsa yang meninggal dunia akan menjalani bedah siasat manakala yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand.

"Kita cuba uruskan tetapi pihak hospital menjalankan tugas mereka untuk buat bedah siasat kerana banyak pelajar ditaja ada yang tajaan Jabatan Perhidmatan Awam (JPA), ada yang persendirian. Jadi pihak hospital akan buat bedah siasat kerana kita tak mahu nanti ada kes dakwaan dan masalah dikemudian hari," kata Mohamad Hasan dalam sidang media, di sini.

Bagaimanapun beliau menyatakan bahawa pihaknya masih belum menerima laporan khusus berhubung kejadian tersebut.

Terdahulu media melaporkan lima pelajar Malaysia terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand kira -kira pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan, hari ini.

Dua mangsa dilaporkan terkorban di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera.

Dua mangsa yang terkorban iaitu pelajar dari University of Canterbury, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa.

Manakala tiga yang lain ialah Nur Firas Wafiyyah  dan Lya Issable Anak Walton juga penuntut University of Canterbury dan Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington.

TETITIA YUSOFF