fb fb fb fb fb

Mangsa buli siber perlu berani tampil berkongsi masalah elak kemurungan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Mangsa buli siber perlu perlu berani tampil ke depan dan berkongsi masalah yang dialami untuk elak daripada kemurungan, kata Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaysia (UM), Dr Norfaezah Md Khalid.

Beliau berkata, jika mangsa memendam perasaan terlalu lama, kesannya boleh menjejaskan kesihatan psikologi sehingga membinasakan diri sendiri.

Tambahnya, mangsa perlu bangkit dalam berdepan dengan budaya negatif yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

"kita perlu dapatkan bantuan pertamanya orang paling dekat kita orang yang boleh dipercayai mungkin ahli keluarga kawan baik.

"Maknanya kita perlu luahkan tapi berhati-hati memilih siapa yang kita luahkan bimbang nanti tidak sesuai dengan emosi apa kita rasa.

"Jadi dapatkan bantuan profesional jumpa kaunselor dan sebagainya," katanya kepada RTM selepas sesi temubual dalam Selamat Pagi Malaysia pada Ahad.

Katanya, pendekatan ini dilihat mampu membantu mangsa mendapatkan sokongan dari segi emosi dan perlindungan yang sewajarnya, di samping tindakan undang-undang yang boleh diambil menerusi pihak berwajib.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu buli siber di negara ini.

Jawatankuasa itu melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).

Beberapa langkah penambahbaikan termasuk pada perundangan berkaitan isu buli siber juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jawatankuasa melibatkan empat kementerian itu akan meneliti secara keseluruhan sebelum meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober.

GRACE AISYAH KEDAYAN