fb fb fb fb fb

Mangsa banjir di Penampang meningkat, satu PPS dibuka di Putatan

FOTO APM PENAMPANG

KOTA KINABALU, 1 Julai- Penduduk terjejas banjir di Penampang meningkat kepada 112 orang daripada 40 keluarga pagi ini berbanding 78 orang daripada 28 keluarga tengah malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa banjir itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka sejak semalam.

Dalam pada itu, banjir turut melanda Putatan dengan menyaksikan dua keluarga dipindahkan ke PPS yang diaktifkan di Dewan Sri Putatan pada 1 pagi tadi.

Situasi itu menjadikan jumlah keseluruhan penduduk terjejas banjir di Sabah dari kedua-dua daerah berkenaan sebanyak 114 orang daripada 42 keluarga dengan dua PPS dibuka, setakat pagi ini.

Hujan lebat berterusan sejak tengah hari semalam mengakibatkan kenaikan paras air, seterusnya menyebabkan banjir di kawasan sekitar Penampang, Putatan dan daerah berhampiran Kota Kinabalu.

Sementara itu, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras banjir di Jalan Penampang Bypass, dekat Bulatan, Sigah, Penampang, dilancarkan pagi ini.

Operasi oleh APM Penampang dibantu anggota daripada APM Kota Kinabalu segera bergerak untuk mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas akibat arus deras banjir.

Orang ramai dinasihati agar sentiasa peka dan waspada debgan keadaan sekeliling dan patuh pada arahan daripada anggota penyelamat.

0107 BANJIR SABAHFOTO POLIS PENAMPANG

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE