ALOR SETAR, 20 April – Pengeluaran mangga Harum Manis di Kedah pada tahun ini dijangka meningkat hampir 10 kali ganda berbanding tahun lalu, berikutan pokok yang ditanam secara besar-besaran sejak empat hingga lima tahun lalu kini telah mencapai tahap matang.
Pengusaha Harum Manis D’Aman, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata sejak seminggu lalu sebanyak 10 tan metrik buah telah berjaya dikeluarkan dari ladangnya seluas 60 ekar yang menempatkan kira-kira 5,000 pokok mangga Harum Manis.
“Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding hanya tiga tan metrik yang dikeluarkan pada tahun lalu. Malah, kami menjangkakan hasil pengeluaran mencecah 30 tan metrik tahun ini dan terus meningkat kepada 100 tan metrik pada tahun hadapan apabila kebanyakan pokok mencapai usia matang iaitu antara lima hingga tujuh tahun,” katanya.
Datuk Mohd Yusof yang juga Pengarah Urusan USIMA Agriculture berkata buah Harum Manis keluaran ladangnya dikawal ketat dari segi kualiti dengan menggunakan alat pengukur kemanisan (break meter) bagi memastikan buah yang dituai mencapai tahap kemanisan sekurang-kurangnya 15 darjah Brix.
“Tahun ini buah tak mencukupi. 20 hingga 30 tan masih tidak cukup untuk eksport. Jadi, sebab itu kita jaga betul-betul kualiti buah keluaran USIMA. Jika bacaan kemanisan bawah 15, kita tidak akan tuaikan kerana selepas diperam, ia akan menjadi kurang manis,” jelasnya.
Mangga Harum Manis dari ladang tersebut dipasarkan secara fizikal dan dalam talian ke seluruh negara termasuk Lembah Klang, Shah Alam, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Ia dijual mengikut tiga gred utama iaitu Premium, Super dan Deluxe.
Menurutnya lagi, ladang tersebut telah mendapat pengiktirafan pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) daripada Jabatan Pertanian serta diletakkan di bawah Program “Malaysia Best” yang dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Bagi peringkat permulaan, mangga Harum Manis berkenaan akan dieksport ke Singapura, Brunei dan beberapa negara ASEAN lain.