KUALA LUMPUR, 18 Mac – Penggunaan teknologi dalam mengesahkan hadis dan hukum-hakam Islam perlu dilakukan dengan bijaksana serta berpandukan rujukan daripada ulama yang berautoriti, terutama dalam era digital yang semakin berkembang pesat.
Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Norazam Khair Mohd Ithnin berkata, teknologi seharusnya menjadi alat bantu dan bukannya penghalang dalam memahami Al-Quran dengan lebih mendalam.
"Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pencarian web dapat membantu memudahkan umat Islam dalam membaca serta memahami al-Quran," katanya ketika ditemui selepas sesi temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa al-Quran mengandungi empat kategori utama, iaitu untuk semua manusia, khusus untuk umat Islam, bagi kefahaman ulama sahaja, dan yang hanya difahami oleh Allah serta Rasul-Nya.
"Bagi saya, teknologi boleh dimanfaatkan untuk memahami al-Quran kerana kitab suci ini diturunkan kepada semua manusia. Oleh itu, manusia boleh memahami bahagian-bahagian tertentu dengan bantuan teknologi," katanya lagi.