fb fb fb fb fb

Manfaatkan peluang tukar status pegangan hak milik tanah kediaman N. Sembilan

Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 12 Mac- Pemilik hartanah di Negeri Sembilan perlu mengambil peluang untuk menukar status pegangan hak milik daripada pajakan kepada hak milik kekal sebelum tawaran itu ditamatkan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dasar penukaran tempoh pegangan hak milik daripada pajakan kepada hak milik kekal (leasehold to freehold) ditawarkan bagi tanah-tanah berstatus kediaman.

"Saya minta masyarakat supaya tidak menunggu, kita tidak tahu tarikh tamat peluang untuk penukaran pegangan tersebut. Jadi ini bukan untuk selama-lamanya.

"Perkara ini sudah berlaku masuk penggal kedua, mungkin penggal ketiga kita kata program tersebut akan ditamatkan. Jadi ambil peluang dan kesempatan yang ada ini untuk selesaikan perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini.

Bagaimanapun pemilik hartanah yang telah memiliki hartanah pajakan sebelum 9 Mei 2018, boleh mengemukakan permohonan masing-masing di pejabat tanah daerah.

Negeri Sembilan merupakan negeri pertama di Malaysia yang membuka permohonan penukaran status tanah daripada pajakan kepada hakmilik kekal.

Penukaran pegangan hak milik itu merupakan tawaran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang telah dilaksanakan pada tahun 2020.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI