PUTRAJAYA, 5 Jun - Munajat Perdana, Jamuan Sahur dan Iftar Hari Arafah serta Gema Takbir Aidiladha, antara pengisian rohani dalam program Ihya Zulhijjah 1446H yang akan diadakan esok di Masjid Putra, Putrajaya.
Penolong Pengarah Kanan masjid berkenaan, Hazman Hashim berkata ia bertujuan mengajak umat Islam menghayati keistimewaan Hari Arafah dengan memperbanyak ibadah dan berdoa kepada Allah SWT.
"Hari Arafah mempunyai ganjaran pahala yang cukup besar. Amat malang dan rugi bagi umat Islam yang melepaskan peluang mengambil keistimewaannya.
Nabi Muhammad SAW menyatakan sesiapa yang berpuasa pada Hari Arafah akan diampunkan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang," katanya.
Sementara itu, tazkirah khas akan disampaikan Datuk Mohd Fauzi Mustaffa menfokuskan mengenai pengisian ilmu dan peringatan tentang keutamaan Hari Arafah.
Umat Islam dijemput hadir untuk mengimarahkan majlis ilmu di Masjid Putra.