PUTRAJAYA, 27 September- Umat Islam di negara ini dinasihat mengambil peluang isu GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) untuk memberi naratif positif dan memperjelas ajaran Islam sebenar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan sedemikian, dapat mengelak daripada terjadinya Islamofobia akibat isu terbabit.
"Faktor dalaman itu adalah berpunca daripada orang Islam itu sendiri, dan mungkin gisbh ini antara salah satu faktor. Namun begitu kita melihat bahawa setiap kali ada apa-apa isu, sebenarnya ia menawarkan satu peluang untuk kita berikan satu naratif positif.
"Islamofobia itu hanya sebagai satu isu tetapi yang paling penting tindakan semua pihak, pemegang taruh dapat memberikan gambaran dan imej yang baik terhadap Islam itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Usrah MADANI 4.0 yang bertemakan "Multi-faith Community Interaction on Islamophobia" di sini.
Dalam usaha mengekang Islamofobia di peringkat antarabangsa perbincangan awal antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan beberapa institusi luar negara diadakan, bagi menawarkan program pendidikan mengenai Islamofobia.