
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Pertahanan memaklumkan kesemua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan penugasan di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat.
- MALBATT 850-13 berada dalam keadaan selamat walaupun situasi keselamatan di selatan Lubnan tegang.
- Langkah perlindungan pasukan dipertingkat dan tahap kesiapsiagaan tertinggi dikekalkan untuk sebarang kontingensi.
- Kementerian dan Markas Angkatan Bersama memantau situasi rapat bersama UNIFIL dan agensi berkaitan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, situasi keselamatan di kawasan tanggungjawab United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) serta MALBATT 850-13 menunjukkan peningkatan aktiviti ketenteraan melibatkan Israel Defense Forces (IDF) dan Hizbullah.
Menurut beliau, tentera Israel dilaporkan memasuki beberapa kawasan di Lubnan, manakala beberapa serangan turut direkodkan berhampiran sektor tanggungjawab MALBATT.
“Sehubungan itu, langkah perlindungan pasukan atau force protection telah dipertingkat selaras dengan tahap waspada semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, ketika ini tiada keperluan untuk melaksanakan evakuasi kerana keadaan masih terkawal.
MALBATT 850-13 kekal pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia mengaktifkan pelan kontigensi termasuk pemindahan kecemasan sekiranya diperlu.
Tambah beliau, kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi secara rapat dengan kerjasama UNIFIL serta agensi berkaitan.
“Keselamatan setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan,” katanya.