fb fb fb fb fb

MALBATT 850-12 selamat tiba di Kem Marakah

Foto hiasan

KUALAL LUMPUR, 8 November- Konvoi pertama Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) selamat tiba di Kem Marakah pada pukul 5.30 petang waktu Lubnan (11.30 malam waktu Malaysia).

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan, konvoi berkenaan tiba bersama-sama lima daripada enam anggota yang cedera ringan dalam insiden letupan di Beirut pada 7 November.

"Salah seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Hamood juga telah dibenarkan keluar pada 8 November 2024, pukul 12.01 pagi waktu Lubnan (6.01 pagi waktu Malaysia), dan kini berada di Kem Marakah bersama-sama anggota lain. Semua anggota kini selamat berada di kem.

"Rawatan susulan terhadap anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850 di Kem Marakah dan akan meneruskan tugasan seperti biasa apabila pulih sepenuhnya," menurut kenyataan itu.

Sementara itu pihak Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sedang menyiasat kejadian serangan di Lebanese Armed Forces (LAF) Check Point, Stadium Saida yang melibatkan konvoi MALBATT 850-12 tersebut.

Bagaimanapun ATM akan meneruskan rancangan pertukaran terup antara MALBATT 850-11 dan MALBATT 850-12 mengikut jadual yang telah dirancangkan oleh pihak UNIFIL.

"Perkara tersebut turut dilaksanakan oleh beberapa negara yang menghantar teruppengaman ke UNIFIL, yang terlibat dalam rancangan pertukaran terup pada bulan ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kumpulan kedua MALBATT 850-12 dijangka akan berlepas pada 10 November 2024 berkekuatan seramai 219 orang," tambah kenyataan itu.

Manakala terup MALBATT 850-12 yang masih berada di Malaysia tetap menjalankan tugas seperti biasa dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum ke Lubnan.

Pada masa sama ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman bawah panji Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan terus memantau secara rapi melalui Markas Angkatan Bersama (MKAB) berkenaan perkembangan insiden tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI