Malaysia wajar kekal Strategi Lindung Nilai Geoekonomi hadapi ketidaktentuan tarif AS

Malaysia wajar kekal Strategi Lindung Nilai Geoekonomi hadapi ketidaktentuan tarif AS.

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Malaysia harus kekal konsisten dengan Strategi Lindung Nilai Geoekonomi sedia ada, dalam mendepani sebarang ketidaktentuan berikutan perkembangan terkini melibatkan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekalkan Strategi Lindung Nilai Geoekonomi dengan tumpuan kepada kepelbagaian rakan dagang dan keterbukaan perdagangan.
  • Mengekalkan kestabilan dan memantau perkembangan secara teliti tanpa mengubah dasar perdagangan secara tergesa-gesa.
  • Amalkan pendekatan berhati-hati kerana kesan segera dijangka terhad dan lebih dipengaruhi oleh sentimen pasaran.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata
pendekatan yang menekankan kepelbagaian rakan dagang, keterbukaan perdagangan dan pengurangan pendedahan kepada risiko dasar unilateral, telah terbukti berkesan untuk kebanyakan negara.

”Bagi Malaysia keutamaan dasar pada ketika ini adalah mengekalkan kestabilan, memantau perkembangan dengan teliti, dan bersedia dari sudut senario, bukannya mengubah haluan dasar perdagangan.

”Dalam tempoh terdekat, risiko kepada Malaysia lebih bersifat kontingensi dan pendekatan berhati-hati ini adalah selaras dengan kekuatan asas perdagangan negara yang telah ditunjukkan pada data terkini,” katanya kepada RTM.

Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat berkata beliau akan mengenakan tarif import baharu sebanyak 10 peratus di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.

Langkah itu sebagai tindak balas terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan tarif timbal balas pentadbirannya yang menyasarkan hampir semua rakan dagang utamanya.

Mengulas lanjut, katanya tiada keperluan untuk kerajaan mengubah dasar atau pelan perdagangan negara hanya berdasarkan kepada satu pengumuman, khususnya apabila langkah tersebut bersifat sementara dan reaktif.

“Pelarasan dasar yang tergesa-gesa berisiko memberi kesan negatif lebih besar kepada ekonomi nasional, termasuk menjejaskan keyakinan pelabur dan kesinambungan rantaian perdagangan sedia ada.

”Dari sudut impak segera, kesannya terhadap pasaran domestik Malaysia dijangka terhad dan lebih didorong oleh sentimen, dengan pemain pasaran menilai pelaksanaan tarif secara menyeluruh atau sekadar tekanan sementara,” katanya.