fb fb fb fb fb

Malaysia-Vietnam perkukuh diplomatik pertahanan serantau, perbaharui MoU

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan (Kanan) dan rakan sejawatnya Menteri Pertahanan Negara Republik Sosialis Vietnam, Jeneral Phan Van Giang (kiri) dalam lawatan kerja selama dua hari ke Vietnam/FOTO Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR, 5 Disember - Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan kepentingan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran kontemporari untuk meningkatkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Vietnam.

Kepentingan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara itu melalui perbincangan strategik Mohamad dengan rakan sejawatnya Menteri Pertahanan Negara Republik Sosialis Vietnam, Jeneral Phan Van Giang dalam lawatan kerja selama dua hari (4 dan 5 Dis) beliau ke negara berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, selain menegaskan semula usaha Malaysia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau, kedua-dua menteri menyatakan komitment untuk meningkatkan keupayaan pertahanan.

"Kedua-dua menteri juga mengadakan mesyuarat dua hala mengenai kerjasama pertahanan pada 4 Dis yang memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama ketenteraan, memupuk kerjasama dalam industri pertahanan dan mengadakan Dialog Strategik Pertahanan antara kedua-dua Kementerian.

"Mesyuarat ini turut membincangkan mengenai pelbagai aspek kerjasama ketenteraan, termasuk latihan bersama, perkongsian perisikan, dan kerjasama dalam teknologi pertahanan," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, kedua-dua menteri turut membincangkan potensi kerjasama dalam industri pertahanan, memperakukan manfaat bersama yang boleh timbul daripada usaha sama dan
pemindahan teknologi.

Dalam pertemuan yang sama, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan turut diperbaharui di mana perjanjian MoU yang dimeterai sebelum ini telah tamat pada 2018.

Pembaharuan itu merupakan satu peristiwa penting dalam mengeratkan semula hubungan pertahanan antara Malaysia dan Vietnam.

Kedua-dua menteri menyatakan komitmen mereka untuk melaksanakan perundangan yang termaktub dalam MoU tersebut dan memastikan kejayaannya dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala.

Dalam sesi lawatan kerja itu Mohamad telah membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinch.

“Semasa pertemuan ini, Menteri Pertahanan Malaysia dan Perdana Menteri Vietnam telah membincangkan mengenai kepentingan kedua-dua negara dan memberi tumpuan terhadap keselamatan maritim. Kedua-dua pihak telah menyatakan minat bersama dalam mengekalkan persekitaran maritim yang stabil dan selamat serta meneroka jalan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kritikal ini,” kata kenyataan itu.

Mohamad juga menzahirkan rasa gembira kerana tahun ini genap 50 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara kedua negara.

Vietnam adalah satu-satunya negara ASEAN di mana Malaysia telah meningkatkan kerjasama dua halanya kepada perkongsian strategik.

Perbincangan dua hala ini diharapkan dapat mengukuhkan jalinan persahabatan dan saling menghormati antara Malaysia dan Republik Sosialis Vietnam.

Kedua-dua juga menteri menyatakan keyakinan yang positif terhadap perbincangan ini dan dapat meningkatkan potensi dalam kerjasama pertahanan pada masa akan datang antara kedua-dua negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN