fb fb fb fb fb

Malaysia-Uzbekistan sedia teroka kerjasama pelbagai sektor - Anwar

Foto FB Anwar Ibrahim

UZBEKISTAN, 18 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang mengunjungi Kompleks Hazrati Imam yang juga pusat keagamaan Islam di Tashkent, Uzbekistan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau dan delegasi Malaysia disambut Timbalan Mufti 1 Uzbekistan, Sahibus Samahah Hamid Bahrom.

Anwar berkata mereka telah dibawa ke sebuah perpustakaan seliaan Lembaga Muslim Uzbekistan.

Mereka turut berpeluang melihat naskhah al-Quran yang dihasilkan Khalifah Saidina Uthman bin Affan antara tahun 644 hingga 646.

Ia adalah satu-satunya daripada enam al-Quran yang masih kekal.

"Imam Hamid turut maklumkan bahawa inilah juga al-Quran yang dibaca Saidina Uthman tatkala beliau dibunuh.

"Bahkan masih ada kesan titisan darah Saidina Uthman di halaman surah Al-Baqarah di dalam al-Quran ini.

"Menurut Imam Hamid, kerajaan Uzbekistan ketika ini sedang membangunkan Pusat Ketamadunan Islam dan apabila siap, al-Quran ini dan kandungan lain dalam perpustakaan akan dipindahkan ke sana.

"Saya kagum dengan kesungguhan kerajaan Uzbekistan dan penduduknya memelihara artifak-artifak sejarah yang begitu penting bagi dunia Islam," kata Anwar.

Terdahulu, Anwar tiba di Uzbekistan untuk lawatan rasmi sulungnya, selama tiga hari.

Sementara itu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev pada hari pertama lawatan ke negara Asia Tengah itu, semalam.

Anwar berkata Malaysia-Uzbekistan sepakat memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak lebih 30 tahun lalu.

Malaysia-Uzbekistan juga sedia meneroka potensi pelaburan, perdagangan dan kerjasama dalam pelbagai sektor.

Anwar berharap pertemuan itu akan membawa manfaat dan kemakmuran untuk rakyat di kedua-dua negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM