KUALA LUMPUR, 28 Februari- Malaysia dan Uzbekistan menyatakan komitmen untuk meningkatkan kerjasama, khususnya menumpukan pada pengembangan perdagangan, pelaburan dan hubungan strategik kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di facebook.
Perkara itu antara topik yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Menteri Luar Uzbekistan Bakhtiyor Saidov, pagi tadi.
"Dalam pertemuan yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, kami berbincang mengenai usaha mempertingkatkan kerjasama dua hala Malaysia-Uzbekistan dan juga isu-isu serantau.
"Pada masa sama, kami turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk kerjasama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), situasi di Gaza serta perkembangan di Afghanistan.
"Saya percaya pertemuan akan memperkukuh dan mempertingkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan," kata hantaran itu.
Saidov kini dalam lawatan kerja rasmi tiga hari ke Malaysia bermula Selasa, menandakan lawatan pertamanya ke negara itu sebagai Menteri Luar Uzbekistan.
Pada 2023, Uzbekistan menjadi rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Tengah.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Uzbekistan berjumlah RM451.9 juta (AS$94.03 juta), mewakili peningkatan 30.9 peratus berbanding 2022.