PUTRAJAYA, 13 Mei- Malaysia menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Republik Uzbekistan bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang penilaian pematuhan halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata MoU itu adalah platform terbaik bagi membina hubungan baik kedua-dua negara selain dapat meningkatkan kualiti pengurusan halal negara masing-masing.
"Kita dapat menghantar pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke Uzbekistan untuk memberi latihan kepada pegawai di sana.
Mereka ini baharu sahaja nak memulakan sijil halal dan kita sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran yang ada. Ini sekali gus dapat membina hubungan yang baik antara Malaysia dan Uzbekistan," kata Dr. Na'im kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani MoU tersebut yang disaksikan oleh Duta Uzbekistan, Karomidin Gadoev di pejabatnya, di sini.
Latihan, penyelidikan, pembangunan kapasiti pengurusan halal dan ke arah pengiktirafan bersama antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui.
Pemeteraian MoU berkenaan juga dijangka akan meningkatkan jumlah dagangan negara ke republik itu melalui eksport produk yang telah dipersijilkan halal.