fb fb fb fb fb

Malaysia, Uzbekistan aktifkan Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan

FOTO FB ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 Mei- Malaysia dan Uzbekistan bersetuju mengaktifkan Jawatankuasa Bersama Perdagangan Antara Kerajaan serta mengubah jawatankuasa itu menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan.

Menerusi satu kenyataan bersama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev menyatakan lawatan bersama wakil dalam kalangan perniagaan serta mengambil bahagian dalam pameran yang diadakan di kedua-dua negara akan diteruskan.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk menganjurkan penglibatan perniagaan dua hala secara kerap dan berkesan bukan sahaja dalam sektor barangan dan perkhidmatan arus perdana tetapi turut melibatkan pelancongan, peluang penjagaan kesihatan dan bidang lain yang memberi manfaat bersama.

Datuk Seri Anwar dan Mirziyoyev juga turut mengambil maklum mengenai peningkatan ketara dalam jumlah perdagangan bersama dalam barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara sejak tujuh tahun lalu serta keperluan untuk mengenal pasti peluang yang belum diteroka dan menyatakan kesediaan untuk mengembangkannya lagi pada beberapa tahun akan datang.

Selain itu, bagi merangsang perdagangan bersama, kedua-dua pemimpin juga menekankan keperluan untuk meneruskan kerja secara sistematik dalam pembangunan dan dalam ketersambungan pengangkutan udara selain mewujudkan laluan logistik baharu yang mudah untuk memastikan kedua-dua negara menjalankan perniagaan dengan lancar.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut berpuas hati terdapat beberapa penglibatan progresif antara Uzbekistan dan Malaysia dalam mewujudkan ekosistem industri halal kondusif yang akan membawa manfaat bersama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memudahkan prosedur pelaburan untuk kemasukan dan keluar pelabur sekali gus mewujudkan persekitaran kondusif untuk pertukaran aktiviti berkaitan pelaburan yang sihat antara Malaysia dan Uzbekistan.

Menerusi pertemuan sejam itu, kedua-dua pemimpin komited dalam membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE