fb fb fb fb fb

Malaysia, Universiti Tsinghua setuju perkukuh kerjasama - PM

(FOTO FB Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 19 September- Universiti Tsinghua dari Beijing, China bersetuju memperkukuh kerjasama dengan Malaysia membabitkan pertukaran pelajar, ahli akademik dan pengkaji selain meluluk (mengintai) peluang mengadakan kajian secara bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia antara inti pati pertemuan beliau dengan Presiden Universiti Tsinghua, Wang Xiqin yang melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam.

“Universiti Tsinghua juga sedang merancang untuk mengadakan program bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun hadapan.

“Harapan saya agar kerjasama ini dapat diperluaskan sementelahan Universiti Tsinghua dikenali sebagai antara yang terkenal dan mendapat pengiktirafan antarabangsa berkaitan kajian akademik dan bidang pendidikan, khususnya melibatkan kejuruteraan, sains dan teknologi,” menurut beliau dalam hantaran di laman Facebooknya.

Anwar berkata ketika ini, sebanyak 350 penuntut Malaysia melanjutkan pengajian di Universiti Tsinghua iaitu jumlah yang tertinggi dalam kalangan pelajar asing di universiti tersebut.


(Presiden Universiti Tsinghua, Wang Xiqin melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di
Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam)

 

Media Baharu