GENEVA, 9 Julai –Malaysia secara rasmi umumkan pencalonan untuk pemilihan semula sebagai ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) penggal 2027-2030.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, membuat pengumuman tersebut ketika sesi ucaptama pemimpin Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20), di sini.
Pada masa sama Datuk Fahmi menekankan bahawa peranan aktif Malaysia jelas serta berterusan dalam ITU; termasuk membantu membina sebuah masyarakat global yang lebih terhubung, berpengetahuan dan inklusif.
Malaysia juga aktif memainkan peranan dalam ITU termasuk penglibatan dalam Partner2Connect serta mempengerusikan kumpulan kajian ITU dan menganjurkan program pembangunan kapasiti.
"Sehubungan itu, kami menawarkan diri untuk pemilihan semula ke majlis ITU bagi penggal 2027-2030. Matlamat kami jelas untuk membantu membina masyarakat global agar lebih berhubung, bermaklumat dan inklusif.
"Kami mengulangi komitmen penuh untuk bekerjasama dengan semua rakan dalam memperluas keterangkuman digital, memperkukuh daya tahan dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam era digital ini" katanya.
Bagi penggal 2023-2026, penglibatan dalam ITU membolehkan negara menyertai usaha membentuk hala tuju dasar strategik ITU, serta mewakili kepentingan rantau Asia dalam bidang dan infrastruktur telekomunikasi.