fb fb fb fb fb

Malaysia tidak lupa bela nasib rakyat Palestin - TPM

Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Malaysia tidak pernah lupa dan leka dalam membela nasib rakyat Palestin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghargaan besar wajar diberikan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelantangan menyuarakan pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Kita ingin merakamkan tahniah kepada Perdana Menteri atas kelantangan suara beliau menyatakan pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Tahniah juga kepada Kementerian Luar Negeri yang turut memainkan peranan aktif sehingga membawa kepada penerimaan keanggotaan penuh Palestin oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu," katanya dalam ucapan dasar semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Terbaharu, usaha membawa rakyat Palestin mendapatkan rawatan di negara ini membuktikan keprihatinan Malaysia terhadap mereka. 

Tambah beliau, komitmen ini akan diteruskan sehingga Palestin menikmati kemerdekaan sebenar.

Usaha Malaysia dalam membela nasib rakyat Palestin akan kekal berterusan sehingga negara berkenaan memperoleh kemerdekaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyambut baik cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh yang mahu parti itu mendapat dua pertiga kerusi dalam pilihan raya akan datang.

Ahmad Zahid berkata beliau tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi yang dimiliki, namun UMNO perlu bekerja lebih gigih jika mahu ia menjadi kenyataan. 

"Kita melihat bahawa dahulu kita di dalam BN (Barisan Nasional), kita bekerjasama dengan 13 parti dalam BN. Kini kita salah satu komponen di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Oleh sebab itu, untuk mengelak pertindihan kerusi ataupun mengelak jentera bertembung, maka kita harus bekerjasama tetapi kita tetap menggunakan lambang BN," katanya.

UMNO katanya perlu terus dinamik selepas senario semasa menunjukkan 222 kawasan Parlimen adalah seimbang antara parti-parti utama.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM