PASIR MAS, 16 November- Undang-undang Malaysia tidak pernah mengiktiraf dua kerakyatan dan mereka yang memiliki dua warganegara adalah menjadi satu kesalahan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya amat mengalu-alukan maklumat daripada polis Thailand berhubung senarai individu yang dikesan memiliki dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand.
Beliau menjelaskan Malaysia dan Thailand sememangnya mempunyai hubungan kerajaan yang baik dalam pelbagai aspek untuk membantu menyelesaikan perkara berbangkit itu.
"Mereka boleh sahaja menyerahkan senarai kedua-dua pihak berkuasa melalui jawatankuasa bersama dan jika ada senarai yang diterima ia akan disemak menerusi pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Setelah proses itu dilakukan, baru kita boleh mengesahkan perkara itu sebab undang-undang negara kita tidak mengiktiraf dua kerakyatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Santuni MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Bunga Pasir Mas di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhamad.
Saifuddin mengulas perkara itu berhubung laporan media berkaitan polis Thailand tidak menolak kemungkinan pengedar dadah dan penjenayah yang bergiat aktif di sempadan Malaysia-Thailand mempunyai dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan.
Sementara itu, beliau memaklumkan Malaysia menghormati undang-undang Thailand berhubung penahanan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat di sebuah hotel pada 1 November lalu.
Pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Thailand untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Pihak kita juga akan melakukan siasatan untuk menyemak perkara berkaitan, tetapi sekarang ini kita biar pihak berkuasa Thailand uruskan perkara tersebut tanpa campur tangan pihak kita," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan enam rakyat Malaysia masing-masing tiga lelaki dan tiga perempuan ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada 1 November lalu.
Menerusi operasi pada pukul 6.00 pagi itu, polis merampas 6,000 biji pil kuda dan hasil ujian air kencing terhadap kesemua mereka adalah positif dadah.
Dalam pada itu pembinaan tembok sempadan di Kelantan-Thailand perlu dibincang dan dimuktamadkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Saifuddin berkata perkara itu merupakan pendekatan sama sebagaimana tembok keselamatan yang ada di sebelah utara yang juga diputuskan di peringkat MKN.
"Tentunya MKN akan memantau perkara ini jika sudah sampai masanya untuk melakukan perbincangan di peringkat MKN saya percaya ia mungkin dibawa.
"Sementara itu Untuk cadangan pemasangan pagar keselamatan yang juga melibatkan kos besar ikhtiar lain seumpama penggunaan dron kawalan dan diwujudkan bilik kawalan untuk pengumpulan data itu juga sedang kami lakukan," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan cadangan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok.