Malaysia tidak boleh ditadbir mengikut kehendak individu atau kumpulan – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

PETALING JAYA, 11 Februari – Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak boleh ditadbir berdasarkan kehendak individu atau kumpulan tertentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mesti ditadbir mengikut kedaulatan undang-undang, bukan kehendak individu atau kumpulan.
  • Semua agama tertakluk kepada peraturan sama; tiada pengecualian dalam pembinaan rumah ibadat.
  • Isu mesti diselesaikan melalui saluran berautoriti, elak tindakan sendiri dan sentimen yang mencetus ketegangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hormat kepada undang-undang merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan politik, keamanan sosial dan perpaduan nasional terus terpelihara.

“Kita tidak boleh benarkan mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri atau bertindak mengikut emosi. Segala isu mesti ditangani melalui proses dan prosedur yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), di sini.

Beliau menjelaskan bahawa dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, setiap pihak perlu menghormati peraturan serta saluran perundangan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.

Mengulas berkenaan isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan, Perdana Menteri menegaskan bahawa semua agama tertakluk kepada peraturan yang sama tanpa sebarang pengecualian.

Sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berwibawa dan bukannya mana-mana individu atau kumpulan tertentu.

“Jika berlaku pelanggaran peraturan, ia mesti ditangani oleh pihak berautoriti. Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak mengambil tindakan atau undang-undang di tangan sendiri,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sentimen berpotensi mencetuskan ketegangan, sebaliknya terus mengamalkan budaya saling menghormati sebagai teras keharmonian dan perpaduan negara sejak sekian lama.