KUALA LUMPUR, 29 Januari – Malaysia dan Thailand komited memperkukuh hubungan diplomatik sedia ada dengan menambah baik kerjasama pertahanan, khususnya dalam aspek keselamatan sempadan.
Perkara itu menjadi agenda utama Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Thailand ke-56 yang berfungsi sebagai platform utama dalam menguruskan persempadanan antara kedua-dua negara.
Kementerian Pertahanan memaklumkan, mesyuarat itu membincangkan pelbagai aspek termasuk keselamatan sempadan, operasi bersama, serta inisiatif pembangunan sosioekonomi dan pengurusan bencana.
“Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, mempromosi kestabilan serantau, serta meningkatkan mekanisme keselamatan di peringkat dua hala dan pelbagai hala,” menurut kementerian itu menerusi kenyataan.
Pada Selasa, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Bangkok bagi lawatan kerja rasmi selama tiga hari.
Lawatan tersebut mencerminkan hubungan strategik erat antara Malaysia dan Thailand dalam memastikan keamanan serta kestabilan serantau terus terjamin.